Monday, December 24, 2007

Lelong! Lelong! Lelong!

Lelong! lelong! lelong!
Siapa mahu beli
Mari! mari!
Kita lihat siapa yang kena buli

Ini lelong bukan sebarang lelong
Lelong murah, murah PBB
Ini bohong bukan sebarang bohong
Bohong Amerika tentang demokrasi

Lelong! lelong! lelong!
Siapa pembida sanggup beli
Dengan harga tertinggi
Amerika punya demokrasi
Penuh dengan diskriminasi

Lelong! lelong! lelong!
Demokrasi kini adalah barang komoditi
Demokrasi boleh dieksport dan dieksplotasi
Ke Negara kuku besi atau autokrasi
Kononnya atas nama hak asasi

Lelong! lelong! lelong!
Jual sahaja PBB
Kalau setakat jadi pemerhati
PBB bukan lagi Pertubuhan
Bangsa Bangsa Bersatu
Tetapi telah jadi Persetubuhan Blok Barat
Ada mata buta
Ada telinga pekak
Warga dunia banyak mati katak

Mari kita tukar nama Koffi Annan
Kepada kopi o, atau kopi susu
Atau kopi tarik
Kerana kopinya tak lagi
Kaw seperti kopi chap kapal api
Untuk dinikmati warga dunia
Yang cintakan damai yang abadi

Ayuh kita rakyat Malaysia
Mari kita tegakkan demokrasi
Ikut acuan sendiri

Apa khabar oic?


Oleh Zainor Rashid b Hj Abdullah (p.ramlee)
Temerloh Pahang
Pertemuan semasa pencak puisi Temerloh 2005


butterfingers- tentang-tentang(LIVE)

Saturday, December 8, 2007

Mencari Erti Kemerdekaan

Kita ini bertuah dilahirkan di bumi bertuan
Merdeka yang kita terima terlalu mudah
Tiada darah yang tumpah
Tiada badan yang rebah
Tiada anak kehilangan ayah
Tiada ibu kehilangan anak

Kita ini bertuah dilahirkan di bumi bertuan
Merdeka yang kita terima terlalu mudah
Namun suatu ketika yang sudah hampir terlupakan
Tatkala mempertahankan bumi ini dari dijajah
Tiada siapa pun sempat menghitung
Berapa sukatan darah yang tumpah
Berapa banyak badan yang rebah
Berapa ramai anak kehilangan ayah
Berapa ramai ibu kehilangan anak
Berapa ramai isteri kehilangan suami

Kita ini bertuah dilahirkan di bumi bertuan
Merdeka yang kita terima terlalu mudah
Sehingga membuatkan kita semua sukar untuk mengerti
Erti sebenar kemerdekaan kita miliki
Kita tidak pernah nampak untuk dapat melihat
Betapa payahnya, betapa peritnya dan betapa sukarnya
Kemerdekaan itu kita perolehi
Maka kita kadang-kadang sukar memberi penghargaan sewajarnya
Kepada nikmat yang kita miliki
Kita pun tidak pernah diceritakan betapa susah payahnya
Orang-orang dahulu kala
Dengan segala yang cuma sedikit yang ada
Berusaha untuk mendapatkan sebuah kemerdekaan
Cincin di jari, gelang di tangan, rantai di leher dan kalung di dada
Dilolos semua buat
Membina usaha mulia
Mendapatkan sebuah kemerdekaan
Yang kini menjadi milik kita
Yang kini kita lena dalam nikmatnya
Yang kini kita lupa akan nilai harganya

(OLEH SEORANG REMAJA BERNAMA PAK WAN MUSA@TOK JANGGUT)

Tuesday, December 4, 2007

Sipoji The Boss

Sinopsis: Filem yang pasti menangis!!!!! kegigihannya menghabiskan Master kaunseling tidak dipersia-siakan apabila dilantik menjadi Boss di klinik kaunseling milik diri sendiri. Orang pertama menggunakan batu garam bagi merawat pesakit. adakah sewa rumah akan dinaikkan selepas penayangan filem di pawagam? Sekiranya dihalau, PANTI asuhan mana anak muda ini akan pergi?

Wednesday, November 28, 2007

Sudah Merdeka?

SONGSANG
M
aafkan aku, kalau aku sering saja berlaku songsang
Terutama di perayaan tahunan seperti hari ini.....

Apabila semua orang telah sedia duduk
Aku bangun berdiri

Apabila orang bangun bertepuk
Aku duduk....

Apabila orang ghairah berbincang
Aku tidur

Apabila orang melepaskan merpati....
Aku menabur padi

Orang lain telah merdeka
Aku belum....

Maafkan aku kalau aku sering saja berlaku songsang...
Aku hanya mengingatkan...

(A.Latiff Mohidin-1977)

Wednesday, January 24, 2007

KURANG AJAR


Sebuah perkataan yang paling ditakuti
Untuk bangsa kita yang pemalu.

Sekarang kata ini kuajar akan pada anakku;
Kau harus jadi manusia kurang ajar
Untuk tidak mewarisi sifat malu ayahmu

Lihat petani-petani yang kurang ajar
Memiliki tanah dengan caranya
Sebelumnya mereka tak punya apa
Kerana ajaran malu dari bangsanya

Suatu bangsa tidak menjadi besar
Tanpa memiliki sifat kurang ajar

(Allahyarham Usman Awang)
Antologi sajak Telok Gong

Tuesday, January 23, 2007

PETUALANG

Semalam katanya dia cinta padamu
Hari ini dibiarnya kau bersendirian
Dia tidak pernah cinta padamu

Semalam dia menangis kerana lukamu
Hari ini menggelengkan kepala
Melihat lukamu masih berdarah
Dia tidak pernah simpati padamu

Semalam dia menyabung nyawa
Berdiri disisimu
Hari ini dibiarkan saja
Kau diperkosa
Kerana dia itulah dia
Petualang melulu

oleh Said Zahari (sewaktu dalam tahanan di penjara Changi dibawah pemerintahan rejim Lee Kuan Yew 1967)

Sajak ini seringkali dibacakan oleh sekumpulan anak muda di UPM ketika pilihanraya kampus atau di dalam perjumpan - perjumpaan kecil mereka.

Salut untuk mereka yang berani!!! Salut buat Said Zahari!!!
( Allahyarham Usman Awang )